Alhamdulillah sedar tak sedar dah lebih dua bulan saya kat Auckland. Dan Ramadhan akhirnya disambut di sini, Syawal juga mungkin begitu. Dalam dua bulan di sini macam-macam perkara dah berlaku, banyak pengalaman baru dah ditempuhi, mengajar saya dan suami jadi lebih berdikari dan bergantung hanya pada Allah di bumi asing ini.
Walaupun jauh dari keluarga, walaupun di sini muslim minoriti, namun sahabat-sahabat seMalaysia di sini sudah seperti keluarga, akrab walau pertama kali bertemu, mudah membantu di kala susah dan sakit, tumpang gembira di kala senang...tak keterlaluan jika saya katakan suasana ukhuwah seperti ini tak mudah ditemui di Malaysia. Ya, bila menjadi golongan minoriti, bila keluarga jauh dari sisi, iman yang menyatukan kami.
Sedar tak sedar rupa-rupanya inilah kali pertama saya dan suami dapat berpuasa bersama sejak bernikah! Ya, dua kali Ramadhan sebelum ini kami tinggal berjauhan, hanya seminggu sekali bertemu, hanya beberapa kali bersahur dan berbuka bersama. Alhamdulillah Ramadhan kali ini kami diberi kesempatan bersahur, iftar dan sahur bersama setiap hari.
1 Ramadhan di sini disambut lewat sehari dari Malaysia, pada hari Jumaat 19 Jun 2015 sebab anak bulan tak kelihatan. Jadi The Federation of Islamic Association of New Zealand (FIANZ) (macam JAKIM kat Malaysia) telah mengishtiharkan 1 Ramadhan jatuh pada hari Jumaat 19 Jun, dan hari Khamis 18 Jun 2015 ialah 30 Syaban. Jenuh juga tunggu pengishtiharan puasa hari Rabu malam tu, ye lah kalau esoknya puasa kena solat terawihla malam tu.
Kat sini, yang tinggal dekat dengan universiti kami katakan tinggal di city, yang jauh sedikit dari universiti yang kena naik bas nak ke campus kami panggil tinggal di mount. Dan hari pertama puasa saya join iftar dengan usrahmates saya dan sahabat2 lain, suami pula buka puasa sesama para suami yang lain kat rumah Tok Penghulu City. Puasa kali ni dalam musim sejuk, jadi tempoh puasa seharian dalam lebih kurang 11 jam 30 minit saja, singkat kalau nak dibandingkan dengan Malaysia. Tapi bila musim sejuk macam ni cabarannya nak menahan kesejukan bangun sahur pagi hari, dan aktiviti-aktiviti lain dalam kesejukan.
Hari ketiga puasa, Ahad 21 Jun 2015, Malaysian Auckland Postgraduate Student Association (MAPSA) buat bazaar Ramadhan. Saya dan suami turut sama terlibat buka gerai untuk jualan di bazar, hehehe. Nak memeriahkan suasana dan cari pengalaman.
Apapun semoga Ramadhan kali ini lebih baik buat kita semua.
Pokok-pokok cuma tinggal ranting tanpa daun di musim sejuk ni.