Saturday, February 23, 2013

Bekerja sambil belajar dan keberkata waktu

Semester baru, sem II 2012/2013 sudah pun bermula 18-02-2013 yang lepas. Dan ini minggu pertama semester, maka bermulalah hujung minggu saya dengan menghadiri kelas master. Alhamdulillah, semester ini hanya perlu menyiapkan projek master dan mengambil satu subjek sahaja lagi. Maka hanya perlu hadir satu kelas untuk 3 jam kredit. Tidak seperti dua semester pertama yang lepas, dengan 4 subjek yang diambil, saya menghabiskan pagi hingga petang hujung minggu saya di kelas. Tidak ke mana-mana cuma sesekali, itupun jika ada kelas yang cancel. Juga berbeza kerana dulu masih bujang tapi sekarang sudah berkeluarga.
Sejak masuk kelas master saya sebenarnya kagum dengan teman-teman sekelas yang bergelar isteri, ibu, dan pada waktu yang sama bekerja sambil belajar. Sedangkan saya diberi cuti belajar, Isnin- Jumaat tidak perlu ke ofis, kelas pula hanya pada hujung minggu, betapa andai dihitung banyak masa yang saya ada untuk menuntut ilmu dan bersama keluarga. Betapa beruntung andai dibandingkan dengan mereka yang bekerja, Isnin hingga Jumaat masa dihabiskan di pejabat dan hujung minggu Sabtu dan Ahad pula menghadiri kelas. Bahkan sebagai wanita, isteri dan ibu, pada waktu yang sama tugas-tugas memasak, mengemas rumah, menjaga anak-anak, membasuh pakaian dan segala macam lagi tanggungjawab di rumah semuanya mampu dilakukan! Saya sangat kagum!  tetanya-tanya bilakah waktu mereka belajar, menyiapkan assignment dan tugasan kelas? Bagaimanakah mereka menguruskan masa 24jam sehari yang ada? Bagaimana mereka yang punyai tugas dan tanggungjawab yang lebih banyak punyai kualiti masa yang sama seperti mereka yang punyai kuantiti masa yang lebih banyak dari tanggungjawab. Namun satu perkara yang saya pasti, KEBERKATAN WAKTU!
Apabila waktu kita diberkati Allah maka segala macam kerja dapat dilakukan dalam tempoh masa yang ada. Alangkah bertuah andai Allah merahmati dan memberkati waktu yang kita ada, maka 24jam sehari yang kita lalui akan terasa cukup, dan bermanfaat. Namun alangkah ruginya andai 24jam itu berlalu tanpa pengisian yang berfaedah, dihiasi perkara yang sia-sia sedangkan kita tahu ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Bila hilangnya keberkatan waktu maka dirasa 24jam sehari tidak cukup, tugasan tidak sempat disempurnakan, dan kita mengeluh cepatnya masa berlalu.
Alangkah nikmatnya bila dikurniakan keberkatan waktu dan umur.  Kata Imam Hassan Al Banna, kita sebenarnya punyai tanggungjawab melebihi masa yang kita ada. Jadi jangan sia-siakan waktu.
Semoga Allah memberkati setiap ilmu yang dipelajari dan setiap saat yang kita ada. Amiinnn.
-Batu Pahat, Feb 22, 2013 @ 18:48

No comments:

Post a Comment